Pok Su Loh Manis - Lagenda Agung Hidupku


Mungkin aku dilahirkan sebagai seorang yang mempunyai sedikit darah seni. Datuk sebelah emak,panggilan aku Tok Ki Loh adalah seorang yang sangat hebat pada zamannya dengan muzik dan seni suara iaitu gendang, serunai dan Dikir Arab. Kemerduan suaranya juga dimanfaatkan dalam mengalunkan azan sebagai bilal/muazzin di kampung kami. Allahyarham mendapat jolokan Pok Su Loh Manis.

Nama sebenar tok ki ialah Abdullah bin Ahmad. Meninggal dunia ketika usiaku 13 tahun, iaitu pada 1975 pada usia yang agak muda iaitu sekitar 55 tahun akibat serangan jantung. Arwah meninggal dengan keharuan penduduk setempat, kerana terkenal sebagai seorang yang rendah diri, tak banyak cakap dan tidak membalas kata-kata buruk orang walau di depannya. Arwah menemui Tuhan dalam wajah tersenyum, itu yang aku nampak dan diperkatakan orang...subhanallah, wallahua'lam.

Sebagai bilal kampung (muazzin) aku kagum dengan kesungguhan dan pengorbanan arwah dalam menjalankan tugasnya sebagai bilal, yang rasanya tak mampu aku lakukan.

Apa tidaknya, seawal 4.00 pagi arwah bangun, mandi, buat secangkir kopi O. Kadang-kadang sempat buat 'lempeng' semasa aku menemaninya tidur ketika ketiadaan wan yang bertandang ke rumah anak-anak di sekitar Dungun dan kadang-kadang ke Kuantan di rumah Mak Teh. Selesai mandi, aku membonceng arwah ke masjid Kampung Pinang Merah yang jaraknya hampir 1 km. Kami memasang pelita ayan dan menyuluh-nyuluh jika ada tahi cicak untuk dikutip buang.

Kadang-kadang aku disuruh 'menggumba air'(dengan menggunakan pam tangan) air ke dalam kolah jika kolah kekurangan air. Kemudian bila masuk waktu subuh, arwah mula mengalunkan azan yang merdu, mengejutkan penduduk Pinang Merah dari lena tidur.

Selang beberapa ketika, orang-orang kampung mula datang. Antaranya ayah (Hj. Mat Zaki)sebagai imam masjid, Ayah Cik Endut, Ayah Long Mat, Haji Su dan lain-lain. Begitulah rutin subuh kami sebelum aku ikut tok ki menoreh getah.

Rutin malam juga penuh nostalgia. Bermula paling lewat setengah jam sebelum maghrib aku membonceng 'basikal unta' tok ki ke masjid. Tiba saja kami terus lihat air kolah, kemudian menambah minyak pelita ayan untuk pastikan minyak tanahnya cukup sepanjang waktu maghrib dan isyak nanti.

Kemudian tok ki akan azan bila masuk maghrib. Suasana malam di masjid kampung tika itu cukup meriah kerana ramai qariah yang datang. Kadang-kadang ada ustaz yang datang mengajar. Aktiviti belajar agama di masjid diistilahkan sebagai 'ddengor' oleh orang Terengganu.Maklumlah aktiviti lain amat kurang - tiada TV mahu pun internet. Seusai solat kami memadamkan pelita, menutup pintu dan tingkap masjid.

Kini setelah dewasa aku menyedari terlalu besar pendambaan tok ki kepada tugasnya sebagai bilal...terlalu amat sukar untuk aku jejaki. Semoga Allah menempatkan rohmu tok ki di kalangan para kekasihnya. Amin.


0 Response to "Pok Su Loh Manis - Lagenda Agung Hidupku"

Catat Ulasan