Salasilah 1 : Kampung Pinang Merah, Moyangku

Aku dilahirkan pada subuh 5 Julai 1961 di kampungku, Kampung Pinang Merah, Paka, Terengganu. Anak ke-3 daripada 8 adik-beradik. Bagaimanapun anak pertama iaitu kakakku yang sulung meninggal dunia semasa masih bayi. 4 adik-beradikku yang awal mempunyai nama yang mudah iaitu Md. Jaafar, Ali, Faziah dan Abdullah.

Keluarga kami sederhana. Ayah banyak bergantung kepada pekerjaan sebagai tukang kayu selain berkebun. Padaku keluarga kami kuat berpegang kepada ajaran Islam. Maklumlah, salasilah keturunan kami diselubungi oleh kisah perjuangan dan kebangkitan Islam.


Salasilah ringkas sebelah ayah.

Bapa jarang bercerita mengenai sejarah silam keluarga kami. Bagaimanapun menurut cerita orang tua kami yang terdahulu yang sempat aku temui iaitu datuk saudaraku yang bernama Yunus bin Ahmad (Tok Ki Junuh), serta anak sulungnya Ngah bin Yunus (Ayah Ngah Dayang)  keluarga kami adalah pengasas Kampung Pinang Merah lebih 200 tahun yang lalu dan telah mendiami kampung ini sejak 5 generasi sehingga ayah.

Moyangku yang pertama berasal dari Pattani, Thailand. Moyang adalah saudara tengah daripada 3 beradik yang dibawa keluar oleh pahlawan-pahlawan Islam Pattani pada masa itu (sekitar tahun 1810M) ke Terengganu semasa berusia belasan tahun. Ini adalah kerana kemaraan tentera  Siam pada masa itu terlalu hebat. Moyang adalah anak kepada pemerintah Pattani pada masa itu dengan gelaran Sheikh. (Mohon kepada sesiapa yang mengetahui kisah ini menghubungi saya). Moyang diberi pesan agar membuang gelaran demi keselamatan mereka yang masih kecil pada ketika itu.

Moyang ada 3 beradik. Yang sulung lelaki menetap di Kuala Terengganu. Moyang juga lelaki di Paka dan yang bungsu perempuan menetap di Kemaman. Semasa aku kecil, ayah sering ke Kuala Terengganu bertemu dengan saudara-mara di sana.

Paka, Terengganu

Peta Kampung Pinang Merah



Masjid Pinang Merah sekitar tahun 1990an yang
telah melalui banyak pengubahsuaian, sesuai zaman.

Sebagai seorang yang berilmu dan berwibawa, moyang berjaya mengumpulkan orang untuk membuka kampung. Sebagai tanda asas pembinaan kampung, masjid dibina. Masjid itu diperbuat daripada kayu cengal yang besar, mengikut senibina Terengganu. Seingat ambe, tiang seri masjid yang empat batang itu mempunyai cerita dan sejarahnya yang menarik. Bermulalah penapakan keluarga moyang di Pinang Merah sebagai ketua kampung, imam dan pakar rujuk dalam kebanyakan hal. Keadaan ini berlangsung sehingga 4 generasi kemudiannya. Menurut cerita, penduduk kampung ketika itu sangat bersatu padu, bermuafakat dan patuh kepada moyang. Teraju kampung sedikit berubah di zaman arwah ayah, Haji Md. Zaki yang hanya memegang jawatan imam.

Rupa masjid Pinang Merah ketika banjir 2009


bersambung...


0 Response to "Salasilah 1 : Kampung Pinang Merah, Moyangku"

Catat Ulasan