Peristiwa Remaja Hafiz Baca Quran Dalam Penjara


Remaja yang mengalunkan hafalan surah al-Quran di sebalik tirai besi sejak awal Ramadhan lalu kini menjadi perhatian ramai pihak termasuk untuk menjadikannya sebagai anak angkat.

Remaja lelaki tersebut yang dikenali sebagai Muhammad Jamaluddin, 16, ditahan akhir Jun dan dihantar ke Penjara Machang selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah.

Sejak viral rakaman berdurasi 2 minit 29 saat itu mula tersebar di laman-laman sosial terutamanya Youtube dan Facebook, pelbagai respons positif diterima dari masyarakat seluruh negara.

Malah, menurut sumber, kerajaan negeri juga tidak akan melepaskan peluang bagi memastikan remaja yang diibaratkan mutiara berharga itu tidak pulang ke negara asalnya dan membina kehidupan di sini.


Melalui viral yang dikongsi di laman sosial Facebook dan Youtube, seorang individu sanggup bersusah payah mengesan Muhammad dan mahu menjadikan beliau sebagai anak angkat.

Antara lain beliau telah mendapatkan maklumat Muhamamd melalui polis Kota Bharu dan jabatan imigresen dan mencari prosedur mengeluarkan remaja itu dipenjara dengan membayar denda.

Difahamkan, Muhammad juga turut dikunjungi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat bagi mengetahui sendiri perkembangan Imam muda dari penjara itu.

Menurut sumber, rakaman tersebut dilakukan ketika dalam proses pemilihan imam untuk penjara di mana beliau ditahan, malah kini Muhammad dijadikan Imam untuk solat fardu dan terawih di penjara berkenaan.

Banyak pihak yang tidak menyangka Muhammad sebenarnya menjadi perhatian golongan atasan yang kini masing-masing cuba untuk membantu remaja itu menyelesaikan beberapa proses dengan mahkamah dan Jabatan Imigresen.

Tujuan utama adalah untuk memastikan permata berharga seperti Muhammad tidak disia-siakan sekali gus boleh dijadikan ikutan kepada golongan muda di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Ibu Muhammad didakwa berasal dari Thailand manakala bapanya pula berasal daripada Kemboja dan bukanlah berketurunan Rohingya sebagaimana yang dilaporkan di Youtube dan sebagainya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman telah mengesahkan Muhammad ditangkap penduduk kampung di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa pada 18 Jun lalu kerana didakwa mencuri.

"Bagaimana pun beliau dilepaskan kerana tiada bukti kukuh dan ditahan kembali pada keesokan hari kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan hasrat untuk menjadikan anak muda tersebut sebagai anak angkatnya.

Ahmad Zahid berkata, proses kini dilakukan untuk mendapatkan dokumen asal bagi membolehkan prosedur pengambilan anak angkat.

"Ada dakwaan mengatakan dokumennya telah dicuri. Jika benar, pastinya ada maklumat asal ibunya warganegara Thailand dan bapanya dari Kemboja," katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya dokumentasi remaja itu berjaya, beliau bercadang menjadikan Muhammad pembantu imam di maahad tahfiz miliknya di Melaka.

Beliau sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mengambil Muhammad sebagai anak angkat susulan video mengalunkan bacaan al-Quran ketika berada dalam lokap polis menjadi viral di laman sosial.


Berita lanjutan oleh BERNAMA

Kisah remaja mengaji merdu mendayu dayu dalam penjara. Subhanallah memang feeling habis dengar bacaan beliau samada sedap atau tidak maksud dan lokasinya menambah kesyahduan. Syukurlah sampai menteri KDN sendiri menzahirkan kekaguman dan sudi membantu adik Muhammad Jamaluddin. Ana Ghoib

KUCHING – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhubung tawaran menjadikan Muhammad Jamaluddin remaja yang mengaji merdu dalam penjara sebagai anak angkat.

Beliau berkata perbincangan dengan ketiga-tiga pihak adalah berkaitan proses perundangan dan dokumentasi yang diperlukan untuk menjadikan remaja itu anak angkat.

Muhammad, 16 yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Machang, Kelantan menarik perhatian ramai di laman media sosial kerana kebolehannya menghafaz al-Quran dan menjadi imam di penjara itu.

“Ada beberapa tawaran juga untuk mengambil beliau (Muhammad) sebagai anak angkat, tetapi elok saya berbincang bagaimana supaya proses legalisasi dokumentasi dapat dijalankan terlebih dahulu sebelum mengambil sebagai anak angkat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian di Masjid Al-Mujahiddin Kompleks Perumahan Polis, Tabuan Jaya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas Muhammad kerana kesalahan berada di Malaysia melebihi tempoh.

“Urusan menghukum ini adalah urusan mahkamah, maka saya tidak boleh menghina mahkamah dengan mengenepikan apa yang diputuskan” katanya.

Muhammad pada mulanya disangka seorang remaja Rohingya, namun hasil siasatan mendapati ibu remaja itu merupakan warganegara Thailand manakala bapanya dari Cambodia.

Ahmad Zahid mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat ke penjara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kebolehan Muhammad yang menarik minat pengikut laman media sosial.

Apapun kita perlu renung-renungkan hikmah disebalik peristiwa ini. Moga kita memperoleh sesuatu untuk bermuhasabah diri






0 Response to "Peristiwa Remaja Hafiz Baca Quran Dalam Penjara"

Catat Ulasan